SEORANG pelajar lelaki berusia 14 tahun didakwa mengalami trauma sehingga berhenti sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar senior di sebuah sekolah di Muar, dengan enam suspek ditahan awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kesemua suspek berusia 17 tahun itu ditahan di sekitar Muar, Johor dan Alor Gajah, Melaka antara jam 1.30 pagi hingga 2.12 pagi.
Beliau berkata, penahanan dibuat susulan laporan polis yang diterima pada jam 5 petang semalam berhubung kejadian membabitkan mangsa yang merupakan pelajar asrama sekolah berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada Mei lalu selepas mangsa didakwa menghisap vape yang diperoleh daripada pelajar lain.
“Mangsa dipercayai dipukul pada bahagian dada selain dipaksa menyerahkan wang kepada suspek yang juga pelajar senior di sekolah terbabit.
“Mangsa turut mengadu mengalami kecederaan lebam pada bahagian mata akibat dihantuk menggunakan kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ab Rahaman berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami tekanan emosi dan trauma sehingga mengambil keputusan untuk berhenti sekolah.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan kerana menyebabkan gangguan, ketakutan atau kebimbangan serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Selain itu, katanya, polis turut menyiasat kemungkinan wujud elemen pengabaian di pihak warden asrama dan pihak sekolah memandangkan kejadian didakwa berlaku di dalam kawasan asrama.
“Bagi aspek itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, semakan rekod mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Menurutnya, permohonan reman terhadap kesemua suspek telah dibenarkan selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam masa sama, polis menyeru mana-mana pelajar lain yang pernah menjadi mangsa kepada suspek supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.
“Polis memandang serius kejadian buli di sekolah dan akan menjalankan siasatan secara telus serta adil dari semua sudut,” katanya.






