UPM terajui pembelajaran imersif menerusi Makmal Bionic Immersive Technology

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) melangkah maju bagi memperkasa pendidikan berteraskan teknologi apabila memperkenalkan Makmal Bionic Immersive Technology di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), sekali gus membuka dimensi baharu dalam latihan klinikal menggunakan teknologi Realiti Maya (VR).

Makmal yang diwujudkan menerusi kerjasama strategik antara UPM dan G Plus Tech Sdn Bhd itu dirasmikan Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah pada Isnin.

GAMBAR: UPM

Ahmad Farhan berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen universiti untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya bagi melahirkan graduan perubatan yang lebih kompeten serta bersedia menghadapi situasi sebenar.

“Hari ini kita menyaksikan hasil kerjasama strategik antara UPM dan G Plus Tech yang berjaya merealisasikan sebuah makmal baharu dikenali sebagai Bionic Immersive Lab.

GAMBAR: UPM

“Makmal ini menggunakan teknologi terkini bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya kepada pelajar perubatan. Kita berharap kerjasama ini akan diteruskan kerana potensinya masih sangat besar untuk dikembangkan,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian itu.

Yang turut hadir, Dekan FPSK, Prof Dr Normala Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif G Plus Tech Sdn Bhd, Dr Nurliza Md Azzam.

Ahmad Farhan berkata, penggunaan teknologi imersif membolehkan pelajar menjalani simulasi pelbagai senario klinikal dalam persekitaran yang selamat sebelum berdepan pesakit sebenar ketika latihan di hospital.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan tahap penguasaan kemahiran klinikal, malah memberi keyakinan lebih tinggi kepada pelajar sebelum memasuki alam pekerjaan.

Kata beliau, walaupun kemudahan tersebut masih berada pada fasa awal pembangunan, UPM bersama G Plus Tech akan terus mempertingkatkan kandungan pembelajaran serta menambah baik keupayaan sistem, termasuk memperluaskan sokongan pelbagai bahasa.

“Melalui kerjasama ini, bukan sahaja pelajar UPM mendapat manfaat, malah penyedia teknologi juga berpeluang menambah baik produk mereka.

“Saya yakin hasil kolaborasi bersama UPM akan membolehkan teknologi ini diperluaskan bukan sahaja di Malaysia, malah ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Ahmad Farhan menjelaskan bahawa makmal berkenaan diwujudkan bagi memberi peluang kepada pelajar menguasai prosedur klinikal menerusi latihan simulasi sebelum berdepan situasi sebenar.

“Jika dahulu pelajar banyak belajar melalui pengalaman secara langsung atau kaedah cuba dan silap, kini mereka boleh menjalani simulasi yang lebih realistik dalam persekitaran yang selamat.

“Pendekatan ini dijangka meningkatkan kemahiran, kompetensi serta keyakinan mereka sebelum berdepan situasi sebenar bersama pesakit,” katanya.

Tambah beliau, teknologi VR juga dapat membantu mengurangkan tekanan yang sering dihadapi pelajar ketika menjalani latihan klinikal kerana mereka telah didedahkan lebih awal kepada pelbagai situasi melalui simulasi digital.

“Generasi hari ini merupakan digital natives yang membesar dalam persekitaran teknologi.

“Justeru, pendekatan pembelajaran berasaskan teknologi seperti ini lebih dekat dengan cara mereka belajar dan mampu menjadikan proses pendidikan lebih interaktif serta berkesan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img