TIMBALAN Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh hari ini menyifatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) seperti kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam kerana didakwa tidak dibina atas asas kepercayaan dan kesetiaan politik.
Menurut beliau, kerjasama kedua-dua gabungan itu mungkin kelihatan kukuh pada permulaan, namun tidak mampu bertahan kerana dibayangi pengkhianatan serta perebutan kepimpinan.
“Saya bandingkan kerjasama mereka seperti kapal dalam filem Titanic yang akan karam bila-bila masa sahaja. Mereka bersorak gembira pada awal pelayaran, namun karam akhirnya akibat melanggar bongkah ais besar yang gagal dilihat berada di depan,” kata beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menerusi hantaran di Facebook hari ini.
BN dan PN tanpa penyertaan Bersatu membentuk persefahaman untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Menerusi persefahaman itu, kedua-dua gabungan tidak bertembung di semua 36 DUN.
BN bertanding di 25 kerusi, manakala parti komponen PN termasuk Pas, Parti Wawasan Negara (Wawasan), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) meletakkan calon di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kerjasama itu berdepan Pakatan Harapan (PH) yang bertanding solo di semua kerusi, selain Bersatu yang meletakkan calon di 24 DUN.
Sementara itu, Hannah berkata, kerjasama BN dan PN tidak mempunyai nilai ‘politik persahabatan’ kerana setiap pihak lebih mementingkan cita-cita sendiri untuk menguasai tampuk kepimpinan negara.
“Masing-masing bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan akan memijak satu sama lain untuk naik ke atas. Mereka pun tidak mahu rakan kerjasama mereka berjaya. Yang mahu dijulang, hanyalah pucuk masing-masing.
“Begitulah perumpamaan kerjasama BN dan PN hari ini. Mereka seperti kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam kerana tidak memiliki nilai politik persahabatan,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata PH sudah membuktikan kesetiaan dalam kerjasama antara parti komponennya apabila PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP terus mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
Beliau berkata, kemenangan calon PH pada PRN Negeri Sembilan penting sebagai simbol mempertahankan nilai kesetiaan dan politik persahabatan yang menjadi asas gabungan itu.
“Ianya yang tidak ada dalam mana-mana kerjasama politik selain PH. Kekalkan Harapan, akan kekallah kerajaan dan para pemimpin yang setia dengan nilai politik persahabatan ini. Percayalah,” katanya.






