SEORANG remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 53 Jalan Teluk Intan-Klang, berhampiran Sungai Haji Dorani di Sungai Besar malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa berusia 15 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda berada di lorong kanan ketika dalam perjalanan dari arah Klang menghala ke Teluk Intan.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, sebuah lori yang dipandu di lorong kiri mengubah haluan ke lorong kanan sebelum bergesel dengan motosikal mangsa.
“Ia menyebabkan penunggang terjatuh atas jalan lalu digilis lori. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Md Yusof berkata, susulan kemalangan itu, usaha mengesan pemandu lori sedang giat dijalankan.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.
Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan beliau turut meminta kerjasama saksi kejadian supaya tampil dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Siti Atikah Md Ali di talian 013-332 8212 bagi membantu siasatan.






