JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan sebanyak 109 warga asing yang disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial (PLS) dengan bekerja tanpa kebenaran dalam serbuan di sebuah bangunan komersial di Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pada jam 11.45 pagi itu dijalankan susulan aduan awam berkaitan kehadiran warga asing khususnya warga China yang didakwa semakin ketara di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, hasil risikan selama tiga minggu, 58 pegawai menyerbu dua aras bangunan komersial itu dan memeriksa 120 individu membabitkan tujuh warga tempatan serta 113 warga asing dari China, Bangladesh, Myanmar dan India.
Menurutnya, semasa serbuan, warganegara asing terbabit sedang giat melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian di beberapa unit premis di dalam bangunan komersial berkenaan.
“Premis itu dipercayai sedang dipersiapkan untuk beroperasi sebagai kelab hiburan eksklusif yang dilengkapi sistem kawalan keselamatan berlapis serta akses masuk yang dikawal rapi.
“Tindakan ini dipercayai sebagai langkah bagi menghadkan kemasukan orang awam dan mengelakkan kegiatan di dalamnya dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria memberitahu, siasatan awal mendapati, sebahagian besar warga asing terbabit dipercayai masuk ke negara ini menggunakan PLS namun disyaki bekerja tanpa kebenaran dan melanggar syarat pas berkenaan.
Katanya, turut dikenal pasti ialah individu yang disyaki tinggal melebihi tempoh sah pas serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah semasa pemeriksaan.
“Seramai 109 warganegara asing terdiri daripada 78 lelaki warganegara China serta 31 lelaki warganegara Bangladesh, Myanmar dan India berumur 30 hingga 43 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua mereka ditahan di Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.
Zakaria berkata, seorang lelaki tempatan turut ditahan kerana disyaki menjadi pengurus atau individu yang bertanggungjawab menguruskan kehadiran warga asing di premis berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal lebih masa dan yang menyalah gunakan pas.
“Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.






