Polis tumpaskan sindiket seludup senjata api bernilai RM360,000, 30 senjata dirampas

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan senjata api yang aktif sejak 2019 dan merampas 30 pelbagai jenis senjata bernilai RM360,000.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kejayaan melumpuhkan sindiket itu hasil operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Perlis, Perak dan Kedah menerusi lapan siri serbuan bermula awal bulan ini.

DATUK Muhammad Abdul Halim

Beliau berkata, lapan lelaki warga tempatan berusia antara 40 hingga 70 tahun ditahan, membabitkan pesara, ahli perniagaan dan penjawat awam.

“Menerusi operasi ini, polis merampas lapan pucuk senjata api sebenar, 21 laras senjata airsoft dan satu laras senapang angin buatan sendiri.

“Turut dirampas adalah ratusan butir peluru pelbagai kaliber, hampir 9,000 kelongsong peluru dan pelbagai komponen serta aksesori berkaitan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar hari ini.

DATUK Muhammad Abdul Halim menunjukkan sebahagian daripada 30 senjata api yang dirampas, dalam sidang media di IPK Perlis di Kangar hari ini. GAMBAR: Facebook Polis Perlis

Muhammad berkata, siasatan awal mendapati kebanyakan senjata diseludup dari negara jiran untuk tujuan sukan dan berburu.

Beliau memberitahu, semua suspek tidak berdaftar dengan mana-mana kelab menembak, sebaliknya bertindak atas dasar minat dan mereka juga mempunyai kemahiran menghasilkan senjata api buatan sendiri.

“Sepanjang siasatan, kita mendapati semua suspek saling berhubung dan berkomunikasi bagi urusan jual beli senjata api secara haram.

“Daripada lapan suspek ditahan, tiga daripadanya didakwa di Mahkamah Seksyen Kangar dan Mahkamah Seksyen Kulim pada 17 serta 21 Julai lalu, manakala baki lima lagi masih dalam siasatan polis,” katanya.

Terdahulu, operasi membanteras sindiket itu bermula menerusi tangkapan pertama pada 1 Julai lalu di Sitiawan, Perak sebelum membawa kepada beberapa siri serbuan di Beseri, Wang Ulu, Taman Repoh, Kuala Perlis dan Kaki Bukit di negeri ini serta di Lunas, Kedah.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, serta Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Muhammad menasihatkan orang awam supaya tidak terbabit kegiatan menyimpan, membeli atau menjadi orang tengah bagi urusan pemilikan senjata api haram kerana ia kesalahan jenayah berat yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara dan sebatan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img