SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap penyebaran kandungan berunsur penghinaan terhadap agama Islam di platform media sosial Facebook.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya telah menerima aduan berhubung kandungan jelik melampau berunsur 3R (kaum, agama dan institusi diraja) dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan platform komunikasi yang melanggar undang-undang.

Kata suruhanjaya itu, selain menjalankan siasatan, MCMC juga akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sedia memberikan bantuan teknikal serta sokongan kepakaran digital bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan, sekiranya diperlukan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“MCMC memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau berkaitan agama kerana perbuatan sedemikian berpotensi mencetuskan kebencian, menjejaskan perpaduan masyarakat sekali gus menggugat keharmonian antara kaum di negara ini,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya menggunakan platform media sosial secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab, selain tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan berunsur penghinaan, hasutan atau jelik melampau, khususnya yang melibatkan agama.






