JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bertindak menyita 25 basikal lajak serta mengeluarkan 24 saman dalam Operasi Pemantauan dan Penguatkuasaan Aktiviti Basikal Lajak yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar ibu negara, Khamis lalu.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, operasi berlangsung dari jam 4 petang hingga 6.30 petang membabitkan seorang pegawai dan tujuh anggota.
Beliau berkata, operasi dijalankan di sekitar Desa Aman, Taman Rimba Bukit Kerinchi, Jalan Pantai Murni 7, Jalan Pantai Permai 13, sekitar PPR Kerinchi serta Jalan Pantai Sentral 2 yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan aktiviti basikal lajak dan sering menerima aduan daripada orang awam.
“Hasil operasi, sebanyak 25 basikal lajak disita manakala 24 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang dikenal pasti sepanjang penguatkuasaan dijalankan.
“Pemeriksaan turut mendapati penunggang yang terbabit berusia antara sembilan hingga 15 tahun dengan majoritinya berusia14 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi itu dilaksanakan susulan aduan masyarakat mengenai aktiviti basikal lajak yang sering berlaku pada waktu petang dan malam di kawasan perumahan serta jalan awam.
“Selain tindakan penguatkuasaan, anggota JSPT Kuala Lumpur turut memberi nasihat dan penerangan kepada penunggang mengenai bahaya aktiviti basikal lajak serta kepentingan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.
“Ibu bapa dan penjaga juga diminta supaya memainkan peranan lebih aktif dalam memantau pergerakan serta aktiviti anak-anak, selain memastikan mereka tidak mengubah suai basikal sehingga membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Katanya, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempergiatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan aktiviti basikal lajak, selain mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.






