Fitnah isu Tabung Haji: Asyraf Wajdi saman dua individu, tuntut ganti rugi RM5 juta

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memfailkan saman terhadap dua individu dan menuntut ganti rugi RM5 juta yang didakwa memfitnah beliau dengan mengaitkannya dalam isu Lembaga Tabung Haji (TH).

Menerusi hantaran di Facebook, Asyraf Wajdi memaklumkan, peguamnya, Datuk Adnan Seman telah diarahkan mengeluarkan surat tuntutan (LOD) terhadap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Ismail Salleh serta pemilik akaun media sosial Abied Abdullah susulan dakwaan fitnah berkenaan.

Beliau berkata, LOD berkenaan antara lain menuntut kedua-dua pihak memohon maaf secara terbuka, menarik balik kenyataan yang didakwa berunsur fitnah, mengemukakan aku janji serta membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta.

“Saya telah arahkan peguam saya, Adnan mengeluarkan LOD ke atas Ismail dan pemilik akaun Abied Abdullah (Habin Faisal Mohamed) yang memfitnah, mengaibkan, menjatuhkan reputasi dan cuba mengaitkan saya dengan isu TH dengan tuntutan permohonan maaf, menarik balik kenyataan, akujanji dan ganti rugi berjumlah RM5 Juta dan jika gagal saman akan difailkan,” katanya dalam hantaran itu.

Terdahulu, beliau berkata, tindakan itu diambil susulan dakwaan bahawa kedua-dua individu terbabit menyebarkan kenyataan yang didakwa mencemarkan reputasi dan maruahnya dengan mengaitkan beliau dalam isu membabitkan TH.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, sekiranya berjaya dalam tindakan saman itu, beliau akan menyalurkan keseluruhan wang ganti rugi yang diterima kepada Yayasan Pelajaran Mara bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan melanjutkan pengajian.

“InsyaAllah, jika menang saman fitnah ini kelak, saya berjanji dan bertekad untuk salurkan setiap sen yang diperolehi ke Yayasan Pelajaran Mara bagi membantu anak-anak pelajar yang miskin dan susah untuk menyambung pengajian mereka,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img