POLIS menahan seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) susulan penemuan mayat bayi di rumah sampah asrama IPT itu di Kuala Langat, tengah malam tadi.
Mayat bayi malang itu yang dibalut dengan kain ditinggalkan di rumah sampah blok asrama IPT berkenaan dan penemuannya dilaporkan kepada polis kira-kira jam 12.20 tengah malam oleh seorang lelaki tempatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Akmalrizal Mohd Radzi berkata, suspek kes berkenaan sudah dikenal pasti.
“Suspek adalah seorang penuntut wanita berusia belasan tahun yang dipercayai ibu bayi berkenaan dan dia sudah ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis tidak mendedahkan jantina mayat berkenaan, namun difahamkan ia bayi perempuan.
Akmalrizal berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.






