LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengharumkan nama Malaysia apabila menerima Anugerah Labaytum Diamond 2026 daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, sekali gus mengekalkan pengiktirafan tertinggi itu bagi tahun kedua berturut-turut.
TH dalam satu kenyataan hari ini berkata, anugerah berprestij itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan TH dalam pengurusan haji, penyampaian perkhidmatan kepada jemaah serta peranannya sebagai institusi kewangan Islam terkemuka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pengiktirafan itu mencerminkan keyakinan tinggi Kerajaan Arab Saudi terhadap keupayaan TH dalam menyediakan perkhidmatan dan penjagaan berkualiti tinggi secara konsisten kepada jemaah haji Malaysia.
“Pengiktirafan ini satu penghormatan besar kepada Malaysia dan memperkukuh kedudukan negara sebagai antara peneraju dunia dalam pengurusan haji.
“Ia juga membuktikan dedikasi serta profesionalisme semua pihak yang berkhidmat kepada Dhuyufur Rahman (tetamu Allah),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anugerah berkenaan disampaikan pada majlis penutup rasmi musim haji 1447H yang dihadiri delegasi haji dari seluruh dunia.
TH sebelum ini turut menerima beberapa pengiktirafan antarabangsa termasuk Anugerah Labaytum bagi kategori Bimbingan Haji Terbaik di Dunia Islam serta Perkhidmatan dan Program Haji Terbaik pada 2023, Perkhidmatan Terbaik untuk Pejabat Hal Ehwal Haji pada 2024 dan Anugerah Diamond buat kali pertama pada tahun lalu.
Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, Anugerah Labaytum Diamond yang diberikan kepada TH bagi tahun kedua berturut-turut dan pengiktirafan kali kelima itu adalah satu penghormatan besar kepada TH dan Malaysia.
Beliau berkata, pencapaian berkenaan tidak mungkin dizahirkan tanpa kerjasama erat serta komitmen tinggi pengurusan TH dan pelbagai agensi kerajaan yang terbabit dalam pengurusan haji negara.
“Kami juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas kepimpinan yang berpandangan jauh, kemajuan teknologi serta penambahbaikan infrastruktur yang memperkaya pengalaman ibadah haji jutaan jemaah dari seluruh dunia,” katanya.
Anugerah Labaytum antara pengiktirafan tertinggi dalam ekosistem haji global yang menilai kecemerlangan operasi, kebajikan jemaah, perkhidmatan kesihatan, program bimbingan, pengurusan logistik, inovasi digital dan keseluruhan pengalaman jemaah.
TH turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, rakan strategik, petugas haji serta jemaah Malaysia yang terus memberikan kerjasama dan kepercayaan dalam menjayakan misi haji negara.


