Kerajaan tubuh Jawatankuasa Kabinet perkasa produk tempatan

KERAJAAN menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi memperkasa penggunaan dan pembelian produk tempatan dalam usaha memperkukuh penyelarasan dasar, meningkatkan jualan domestik serta memperluas pasaran eksport.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penubuhan jawatankuasa itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Julai lalu bagi menyelaras hala tuju antara kementerian dan agensi kerajaan berkaitan agenda produk tempatan.

Beliau berkata, langkah berkenaan turut bertujuan memperhebat promosi produk tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap barangan import.

Jjawatankuasa itu katanya, akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, manakala KPDN bertindak sebagai urus setia.

“Penubuhan jawatankuasa ini diyakini mampu memperkukuh pelaksanaan gerakan JOM MALAYSIA sebagai agenda nasional yang mengangkat semangat patriotisme ekonomi serta memperkasakan peranan produk dan perkhidmatan tempatan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita sedang merangka terma rujukan sebelum dibentangkan kepada pengerusi jawatankuasa ini. Selepas itu, tarikh mesyuarat akan ditetapkan pada kadar segera.

“Kita akan memperhalusi kementerian atau agensi yang terbabit dalam jawatankuasa, tetapi yang pasti semua yang mempunyai kepentingan serta berkaitan dengan pengeluaran produk tempatan,” katanya dalam sidang media selepas Perasmian Festival JOM MALAYSIA di Kompleks Sukan Sandakan hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Armizan berkata, penubuhan Jawatankuasa Kabinet itu dijangka dapat memperkemas dasar, strategi dan pendekatan kerajaan dalam membina ekosistem yang kondusif bagi memastikan produk Malaysia menjadi pilihan utama pengguna serta lebih berdaya saing di pasaran domestik dan antarabangsa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img