PRN Negeri Sembilan : PH tawarkan harapan, bukan kebencian – Fahmi

PAKATAN Harapan (PH) menggesa semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menghentikan amalan politik kebencian, memainkan sentimen kaum, agama dan institusi diraja (3R) serta penyebaran fitnah demi meraih sokongan pengundi.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, berbaki kurang enam hari sebelum hari pengundian, kempen pilihan raya sepatutnya memberi tumpuan kepada persaingan idea, dasar, rekod pencapaian dan penyelesaian terhadap isu yang dihadapi rakyat.

Menurut beliau, rakyat Negeri Sembilan lebih memerlukan jawapan mengenai isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan dan pembangunan ekonomi berbanding retorik politik yang memecahbelahkan masyarakat.

“Pilihan Raya Negeri merupakan medan demokrasi untuk rakyat memilih masa depan negeri, bukannya gelanggang menyemai kebencian, memainkan sentimen perkauman, agama, institusi diraja atau menyebarkan fitnah demi meraih undi.

“Parti-parti yang bertanding sepatutnya bersaing dengan idea, dasar, rekod pencapaian dan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya menggunakan politik kebencian atau politik yang memisah-misahkan,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, hari ini.

Beliau berkata, masih terdapat pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman dan menyebarkan fitnah sepanjang tempoh berkempen bagi mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar.

Katanya, tindakan itu menunjukkan sesebuah parti ketandusan idea sehingga sanggup menjadikan kebencian dan perpecahan sebagai modal politik.

“Apabila sebuah parti ketandusan idea, mereka sanggup menjual kebencian dan perpecahan. Sebaliknya, apabila sesebuah parti yakin dengan rekod dan tawarannya, mereka akan menawarkan harapan berdasarkan fakta, bukti dan pencapaian.

“Pakatan Harapan memilih untuk menawarkan harapan, bukan kebencian,” katanya.

Fahmi berkata, rakyat kini mahukan penyelesaian terhadap persoalan bagaimana lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi dapat diwujudkan, anak muda memiliki rumah sendiri, kos sara hidup diringankan dan ekonomi negeri terus berkembang.

Menurut beliau, politik berteraskan kebencian, ketakutan serta perkauman tidak akan membuka peluang pekerjaan, menurunkan harga barang, membina rumah mampu milik atau menarik pelaburan baharu ke negeri ini.

“Pakatan Harapan menyeru semua parti politik menghormati undang-undang pilihan raya dan memastikan kempen yang berbaki kurang enam hari lagi berlangsung secara matang, berhemah dan berasaskan fakta.

“Bertandinglah dengan dasar, rekod dan prestasi. Bawalah cadangan serta penyelesaian, bukannya bertanding atas dasar kebencian yang cuba memecahbelahkan masyarakat atau menimbulkan rasa takut dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Negeri Sembilan selama ini dikenali sebagai negeri yang aman dan harmoni, justeru perpaduan yang dibina sekian lama tidak seharusnya dikorbankan demi kepentingan politik sempit.

Katanya, pada 1 Ogos nanti, rakyat akan menentukan sama ada mahu memilih politik yang menyatukan atau memecahbelahkan masyarakat.

“Pakatan Harapan akan terus menawarkan politik yang sederhana, inklusif dan menyatupadukan rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang. Negeri Sembilan tidak memerlukan politik kebencian,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img