POLIS mengesahkan enam lelaki tempatan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya esok, atas tuduhan menculik seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan wang tebusan RM7 juta pada 17 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan, siasatan terhadap lapan suspek yang ditahan berhubung kes berkenaan telah selesai.
Menurut beliau, kertas siasatan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 24 Julai lalu, sebelum pihak pendakwaan mengarahkan enam suspek lelaki tempatan didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik bagi mendapatkan wang tebusan.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan.
“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada jam 9.30 pagi, 27 Julai 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua lagi suspek, masing-masing seorang wanita dan lelaki tempatan, dibebaskan serta dijadikan saksi pendakwaan dengan jaminan polis mengikut Seksyen 118 Kanun Tata Cara Jenayah.
Media sebelum ini melaporkan, seorang ahli perniagaan dipercayai diculik di Petaling Jaya pada 17 Julai lalu, sebelum dibebaskan selepas wang tebusan RM7 juta dipercayai dibayar.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, PDRM komited mengambil tindakan berterusan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terbabit dalam aktiviti jenayah, khususnya jenayah kekerasan, bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan jenayah daripada terus berleluasa.






