BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 200,000 batang rokok putih menerusi operasi Op Taring Wawasan di Kampung Kok Bedollah, di Tumpat awal pagi ini.
Kejayaan itu selepas Batalion 9 PGA mengejar kenderaan jenis Proton Preve yang dipandu seorang lelaki sejauh dua kilometer sebelum kereta itu terbabas.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika rondaan dilakukan kira-kira jam 4.15 pagi, pihaknya mengesan kenderaan terbabit dalam keadaan mencurigakan.
“Menyedari kehadiran pegawai dan anggota PGA, kenderaan terbabit memecut laju sejauh dua kilometer dan kita mengejar sehingga Kampung Kok Bedollah sebelum ia terbabas ke dalam kawasan tali air.
“Pemandu kereta berkenaan berjaya melarikan diri dan pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit menemukan beberapa guni mengandungi 200,000 batang rokok putih dipercayai tidak bercukai dan diseludup.
“Rampasan keseluruhan termasuk kenderaan dan rokok bernilai RM400,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Radzi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan barang rampasan dihantar ke Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.
“Kita akan mengenal pasti pemilik kenderaan itu bagi membantu siasatan,” katanya lagi.






