TIMBALAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengingatkan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak menggadaikan maruah pasukan demi kepentingan peribadi atau wang ringgit ketika menyampaikan amanat terakhirnya sebelum bersara wajib, esok.
Beliau yang menamatkan perkhidmatan selepas hampir 35 tahun bersama PDRM berkata, pasukan itu perlu terus dipelihara kerana dibina atas pengorbanan dan jasa anggota terdahulu.
“Jangan rosakkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya kerana kepentingan diri. Jangan jual maruah kerana wang,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), hari ini, lapor Buletin TV3.
Menurut beliau, walaupun tidak lagi bersama kepimpinan tertinggi PDRM, doa dan harapannya akan sentiasa mengiringi pasukan yang disifatkannya sebagai lebih daripada sekadar tempat mencari rezeki.
“Pasukan ini memberikan saya keluarga dan sahabat. Pasukan ini mengajar saya erti keberanian, kesetiaan, kehilangan, pengorbanan dan juga tidak semua perkara dalam hidup menjadi milik kita untuk selama-lamanya.
“Akan tiba masanya kita perlu melepaskan, bukan kerana kita tiada hati, tetapi kerana amanah itu perlu diteruskan oleh generasi yang berikutnya,” katanya.
Ayob Khan turut mengingatkan warga PDRM agar sentiasa menjaga nama baik pasukan serta tidak menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan.
“Jagalah pasukan dan seragam ini. Jagalah nama baik institusi yang telah dibina dengan darah, keringat dan nyawa rakan-rakan kita yang terdahulu.
“Jangan gunakan kuasa untuk menindas mereka yang lemah dan jangan sesekali lupa bahawa di sebalik setiap kuasa yang kita miliki, terdapat rakyat yang mengharapkan keadilan,” katanya.
Beliau berkata, integriti perlu terus dipertahankan kerana nilai itu bukan diukur ketika seseorang dipuji, sebaliknya ketika tiada sesiapa melihat.
Katanya, setiap warga PDRM juga perlu sedar bahawa setiap amanah dan kuasa yang diberikan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
“Ingatlah, manusia mungkin tidak melihat, ketua mungkin tidak mengetahui. Namun, Allah SWT sentiasa melihat. Malaikat Raqib dan Atid sentiasa mencatat.
“Setiap amanah akan dipersoalkan. Setiap kuasa akan dipertanggungjawabkan. Pada akhirnya, kita semua akan berdiri di hadapan Allah SWT bukan dengan pangkat atau jawatan, tetapi dengan amal dan perbuatan kita,” katanya.
Terdahulu, majlis serah terima tugas itu menyaksikan Ayob Khan secara rasmi menyerahkan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara kepada Datuk Seri Ibrahim Darus yang dilantik sebagai pemangku berkuat kuasa hari ini.






