
PAKATAN Harapan (PH) komited meneruskan skim Rumah Harapan Rakyat (RHR) tanpa faedah, bagi membantu lebih ramai rakyat Negeri Sembilan memiliki kediaman sendiri, jika diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, skim itu membolehkan rumah dibina di atas tanah milik sendiri atau tanah milik keluarga dengan kebenaran pemilik, sekali gus memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pada kos yang lebih mampu milik.
Beliau berkata, RHR ditawarkan pada harga sekitar RM85,000 bergantung kepada kos semasa, selain pembeli tidak dikenakan sebarang faedah sehingga bayaran diselesaikan sepenuhnya.
“Selain kerjasama dengan pihak swasta membina rumah mampu milik, kerajaan negeri menyediakan Rumah Harapan yang boleh dibina di tanah sendiri atau tanah milik keluarga dengan kebenaran.
“Yang penting, rumah ini disediakan tanpa sebarang faedah sehingga mereka habis membuat bayaran,” katanya ketika ditemui selepas program ramah mesra bersama penduduk Kampung Segenting di Port Dickson hari ini, lapor Buletin TV3.
Aminuddin yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, skim itu adalah antara inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan rakyat di bandar dan luar bandar mempunyai peluang memiliki kediaman sendiri.
Katanya, inisiatif berkenaan mampu menghidupkan semula kawasan kampung dengan menggalakkan lebih ramai penduduk, khususnya golongan muda, kembali menetap di kampung halaman.
“Kita mahu hidupkan suasana kampung dengan lebih ceria lagi, dengan lebih ramai yang balik tinggal di kampung. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pembangunan bandar, malah membangunkan kampung supaya tidak ditinggalkan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, penyediaan RHR melengkapkan pelbagai inisiatif perumahan lain yang ditawarkan PH, termasuk Rumah Mampu Milik (RMM) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) hasil kerjasama kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan serta pemaju swasta.
Mengulas sasaran pembinaan 20,000 rumah mampu milik yang terkandung dalam manifesto PH, Aminuddin berkata, jumlah itu merangkumi semua kategori perumahan termasuk RMM, RHR, PPR serta projek di bawah agensi perumahan Persekutuan.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sudah memperoleh kelulusan pembinaan PPR di beberapa lokasi termasuk di Nilai yang melibatkan projek rumah bertingkat, selain kediaman bertanah di Linggi dan Johol.
“Saya yakin dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, lebih banyak projek PPR dapat dilaksanakan, terutama di kawasan yang kurang mendapat perhatian pemaju swasta,” tambahnya.






