SEORANG kontraktor mendakwa kerugian sejumlah RM122,552 selepas diperdaya individu yang menawarkan tender yang tidak wujud.
Mangsa, lelaki berusia 46 tahun mendakwa telah menerima mesej daripada individu yang mendakwa sebagai kakitangan sebuah politeknik di Kuantan bulan ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, individu terbabit menawarkan peluang sebut harga bagi pembekalan janakuasa kepada syarikat milik mangsa.
Katanya, bagi meyakinkan mangsa, suspek mengemukakan dokumen surat tawaran (LO) serta memperkenalkan sebuah syarikat pembekal barangan.
“Mangsa kemudian membuat beberapa transaksi pembayaran kepada akaun bank yang diberikan suspek membabitkan jumlah keseluruhan berjumlah RM122,552 bagi tujuan pembelian barangan yang kononnya diperlukan untuk melaksanakan tender itu.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas hadir ke politeknik berkenaan untuk mendapatkan pengesahan dan dimaklumkan bahawa tiada sebarang pesanan kerajaan atau tawaran sebut harga dikeluarkan politeknik itu.
“Mangsa kemudiannya gagal menghubungi suspek sebelum tampil membuat laporan polis. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu, Ashari menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran tender atau sebut harga yang diterima menerusi aplikasi pesanan ringkas, media sosial atau panggilan telefon.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan membuat semakan terlebih dahulu dengan agensi atau jabatan berkaitan bagi mengesahkan kesahihan sesuatu tawaran, selain tidak membuat sebarang pembayaran kepada akaun yang meragukan serta mendapatkan pengesahan melalui saluran rasmi sebelum melakukan sebarang transaksi.
“Sekiranya mempunyai sebarang keraguan atau menjadi mangsa penipuan, orang ramai disaran segera membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.






