Janda muda, suami orang dicekup berkhalwat di hotel

ALASAN seorang janda muda kononnya hanya menumpang menggunakan tandas tidak berjaya menyelamatkannya apabila ditahan berkhalwat bersama seorang lelaki berstatus suami orang dalam serbuan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah hotel di Batu Pahat, malam tadi.

Dalam operasi pemeriksaan berkala dan rambang yang dijalankan kira-kira jam 11.40 malam itu, penguat kuasa turut menerima rayuan daripada lelaki terbabit supaya dilepaskan kerana bimbang perbuatannya diketahui isteri serta anak-anak yang masih bersekolah.

Menurut kenyataan JAINJ, pemeriksaan dijalankan selepas anggota mengetuk pintu bilik hotel sebelum ia dibuka kira-kira lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang hanya memakai baju-T dan seluar dalam.

“Lelaki itu cuba menutup semula pintu sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, namun tindakan pantas anggota berjaya menghalangnya sebelum pemeriksaan diteruskan.

“Penguat kuasa kemudian memasuki bilik selepas memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa. Keadaan bilik ketika itu gelap dan pemeriksaan awal tidak menemui individu lain,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan lanjut menemukan beberapa pakaian wanita termasuk pakaian dalam di atas kerusi selain mendapati pintu tandas tertutup.

Katanya, selepas pintu tandas diketuk beberapa kali, ia dibuka kira-kira tiga minit kemudian namun individu di dalamnya enggan keluar.

“Penguat kuasa wanita kemudian memasuki tandas dan menemui seorang wanita yang hanya memakai seluar dalam tanpa pakaian lain sebelum mengarahkannya memakai pakaian lengkap.

“Hasil soal siasat mendapati kedua-dua individu bukan pasangan suami isteri yang sah. Lelaki itu berstatus suami orang berusia lingkungan 30-an, manakala wanita berstatus janda berusia lewat 20-an,” katanya.

Menurut JAINJ, pasangan terbabit bekerja di Batu Pahat dan dipercayai sudah berkenalan lebih setahun.

Mereka dikatakan tiba di hotel berkenaan menggunakan dua kenderaan berasingan kira-kira jam 10.30 malam dengan bayaran bilik dibuat oleh lelaki terbabit.

“Wanita itu pada mulanya memberi alasan hanya menumpang menggunakan tandas, namun selepas soal siasat lanjut, dia mengaku berada di dalam bilik bersama lelaki yang bukan suaminya,” katanya.

JAINJ berkata, kedua-duanya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.

Katanya, operasi pemeriksaan serta penguatkuasaan di hotel-hotel seluruh Johor akan diteruskan dari semasa ke semasa dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan syariah diminta menyalurkannya melalui talian aduan 24 jam JAINJ bagi membantu usaha penguatkuasaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img