ASEAN-PAC perkukuh intergriti, tata kelola rantau ASEAN – SPRM

PERANAN yang dimainkan ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) perlu terus diperkasakan sebagai platform utama memperkukuh agenda integriti, tata kelola yang baik serta kerjasama serantau dalam usaha membanteras rasuah yang semakin kompleks dan merentas sempadan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, komitmen bersama negara anggota ASEAN-PAC menjadi asas penting dalam membina institusi yang berintegriti dan dipercayai serta berupaya menangani cabaran rasuah yang sentiasa berubah.

DATUK Seri Abd Halim Aman berucap pada Mesyuarat Principals ASEAN-PAC Ke-22 di sebuah hotel Banda Hilir Melaka hari ini. GAMBAR: SPRM

“ASEAN-PAC hari ini bukan lagi sekadar platform dialog serantau, sebaliknya berkembang menjadi sebuah komuniti agensi antirasuah yang dipercayai, disatukan oleh matlamat bersama serta komitmen memperkukuh integriti di rantau ini.

“Cabaran rasuah pada masa kini tidak lagi terhad kepada sempadan sesebuah negara, malah melibatkan eksploitasi teknologi digital, sistem kewangan dan kelemahan rentas sempadan oleh rangkaian jenayah yang semakin sofistikated,” katanya.

MESYUARAT Principals ASEAN-PAC Ke-22 di sebuah hotel Banda Hilir Melaka hari ini. GAMBAR: SPRM

Abd Halim berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Principals ASEAN-PAC Ke-22 di sebuah hotel Banda Hilir Melaka hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim; Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie dan Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail.

Mesyuarat selama dua hari itu menjadi platform penting untuk memperkukuh kemajuan yang telah dicapai di bawah Kepengerusian Malaysia dan membentuk langkah seterusnya bagi ASEAN-PAC.

Mengulas lanjut, Abd Halim berkata, perbincangan akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama serantau, memanfaatkan inovasi digital, berkongsi amalan terbaik serta memastikan ASEAN-PAC terus relevan dan responsif terhadap cabaran yang sentiasa berubah.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan rakan strategik antarabangsa termasuk International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA), United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) dan Asian Development Bank (ADB).

“Sokongan berterusan organisasi berkenaan menerusi kerjasama teknikal, perkongsian pengetahuan dan pembangunan kapasiti banyak menyumbang kepada perkembangan ASEAN-PAC sebagai platform kerjasama antirasuah yang lebih berkesan,” tambah beliau.

Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua negara anggota ASEAN-PAC dan rakan strategik antarabangsa atas komitmen serta persahabatan yang dapat memperkukuh kerjasama serantau sejak penubuhannya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img