Dakwaan Melayu, Islam terpinggir tidak bertanggungjawab, kata 3 calon PH

PAKATAN Harapan (PH) Negeri Sembilan menegaskan, rekod pentadbiran negeri menunjukkan kebajikan masyarakat Melayu serta institusi Islam terus diperkasakan melalui dasar dan peruntukan nyata.

Calon PH bagi DUN Sikamat, Nor Azman Mohamad; calon DUN Ampangan, Nazri Kassim; dan calon DUN Paroi, Ahmad Shahir Mohd Shah berkata, pilihan raya sepatutnya menjadi medan pertandingan idea, dasar dan prestasi, bukannya pentas menakut-nakutkan rakyat menggunakan dakwaan tanpa bukti.

Mereka berkata, sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, terdapat pihak yang membawa naratif kononnya kedudukan orang Melayu dan Islam akan terancam jika PH terus diberikan mandat.

“Sekiranya benar dakwaan bahawa orang Melayu dan Islam semakin terpinggir di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, maka rakyat berhak bertanya satu soalan yang mudah — di manakah buktinya?” kata mereka pada sidang media hari ini, lapor harapandaily.

Menurut mereka, naratif tersebut bukan sahaja tidak matang dan tidak bertanggungjawab, malah boleh mengundang kebimbangan, syak wasangka serta ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk yang selama ini hidup aman di Negeri Sembilan.

Lebih mengecewakan, katanya, isu berkenaan turut dimainkan oleh pihak luar yang tidak memahami keunikan Adat Perpatih serta keharmonian sosial di negeri itu.

Mereka berkata, sepanjang hampir tujuh tahun di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, pentadbiran negeri telah membuktikan bahawa pembelaan terhadap masyarakat Melayu bukan sekadar slogan pilihan raya.

Sebaliknya, ia diterjemahkan melalui pengurusan kewangan yang berhemah, peningkatan pendapatan, bantuan pendidikan dan peluang ekonomi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Menurut mereka, lebih 90 peratus penjawat awam Negeri Sembilan terdiri daripada masyarakat Melayu Islam.

Hasil prestasi kewangan negeri dan pencapaian syarikat berkaitan kerajaan negeri, penjawat awam menikmati bonus sehingga tiga bulan gaji serta kenaikan gaji sebanyak 15 peratus.

“Ini bukan retorik. Ini manfaat sebenar hasil pentadbiran yang cekap,” katanya.

Ketiga-tiga calon PH berkenaan berkata, pencapaian tersebut membuktikan kerajaan negeri mampu menjaga kebajikan penjawat awam tanpa perlu menjadikan sentimen kaum dan agama sebagai modal politik.

 Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan anak-anak Negeri Sembilan tidak tercicir daripada arus persekolahan dan pengajian tinggi.

Antaranya, termasuk bantuan menerusi Inisiatif Anak Sekolah, Anak Negeri dan pelbagai skim di bawah Yayasan Negeri Sembilan.

Menurut mereka, ribuan pelajar telah mendapat manfaat daripada bantuan berkenaan dan majoritinya terdiri daripada masyarakat Melayu Islam.

“Hal ini menunjukkan bahawa membela masyarakat Melayu bukan sekadar slogan ketika pilihan raya, tetapi diterjemahkan melalui dasar dan bantuan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” katanya.

PH Negeri Sembilan berkata, kekuatan orang Melayu tidak boleh dibina hanya melalui ucapan berapi-api, sebaliknya memerlukan akses kepada pendidikan berkualiti, pekerjaan lebih baik, pendapatan lebih tinggi serta peluang perniagaan yang luas.

Dalam usaha memperkasakan Islam, mereka berkata, rekod kerajaan negeri juga jelas dan boleh dinilai melalui pelaksanaan projek sebenar.

Kerajaan negeri telah menaik taraf Kompleks Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Gemencheh dengan kos RM14 juta pada 2020 bagi memperkukuh pendidikan agama.

Selain itu, sebanyak 10 masjid baharu sedang dan telah dibina dengan nilai keseluruhan hampir RM90 juta.

“Masjid bukan sekadar tempat ibadah. Ia merupakan pusat pembangunan ummah, pusat ilmu, pusat perpaduan dan pusat kebajikan masyarakat.

“Pelaburan besar ini membuktikan bahawa kerajaan negeri bukan sahaja mempertahankan syiar Islam, malah terus memperkasakannya,” kata mereka.

Menurut mereka, pendekatan PH adalah membela Melayu melalui dasar, memartabatkan Islam melalui tindakan dan membangunkan negeri dengan hasil yang boleh dinikmati semua lapisan masyarakat.

Mengulas lanjut, ketiga-tiga calon PH itu menegaskan, masyarakat Melayu Islam akan menjadi lebih kuat apabila mempunyai pendidikan lebih baik, pekerjaan berkualiti, pendapatan lebih tinggi dan akses lebih luas kepada peluang ekonomi.

Pada masa sama, institusi Islam perlu diperkukuh melalui peruntukan serta dasar yang konsisten, bukannya sekadar dijadikan bahan ceramah menjelang pilihan raya.

“Kami tidak percaya bahawa Melayu akan menjadi kuat hanya dengan slogan.

“Kami percaya orang Melayu Islam Negeri Sembilan akan menjadi lebih kuat apabila mempunyai pendidikan yang lebih baik, pekerjaan yang lebih baik, pendapatan yang lebih tinggi dan peluang perniagaan yang lebih luas,” katanya.

Mereka berkata, perjuangan tersebut telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Aminuddin.

Dalam masa sama, PH Negeri Sembilan menyeru rakyat supaya menolak politik yang memainkan sentimen kaum dan agama semata-mata untuk meraih sokongan.

Pengundi, sebaliknya diminta menilai kerajaan berdasarkan rekod, fakta, peruntukan dan manfaat yang telah dinikmati sepanjang tujuh tahun lalu.

“Nilailah berdasarkan rekod. Nilailah berdasarkan fakta. Nilailah berdasarkan apa yang telah dilaksanakan sepanjang tujuh tahun yang lalu.

“Sekiranya sebuah kerajaan benar-benar membela Melayu dan memartabatkan Islam, sudah tentu ia dapat dibuktikan melalui dasar, peruntukan, pembangunan dan manfaat yang dinikmati rakyat,” katanya.

Menurut mereka, semua ukuran itu telah dibuktikan oleh pentadbiran PH di Negeri Sembilan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img