JIM tunggu laporan SPRM sebelum tindakan tata tertib kes godam MyIMMs

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) akan menunggu laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum mengambil tindakan termasuk membuka kertas siasatan tata tertib terhadap pegawainya yang ditahan berkaitan kegiatan penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, siasatan berhubung kes itu masih di peringkat awal dan terdapat proses perundangan yang perlu dipatuhi sebelum sebarang tindakan jabatan dilaksanakan.

Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah menunggu siasatan SPRM diselesaikan terlebih dahulu.

“Jika dituduh di mahkamah, barulah kita akan buka kertas tata tertib untuk tahan kerja sehingga kes mahkamah selesai.

“Bagi yang tidak dituduh, sekiranya terdapat bukti pelanggaran tata tertib, tindakan juga akan diambil,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Media hari ini melaporkan, seramai 12  individu ditahan dalam satu operasi bersepadu bagi menumpaskan kegiatan penggodaman MyIMMs berkaitan proses permohonan serta kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah semalam menerusi Op Crack.

Ketua Pesuruhanjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dilaporkan berkata, individu yang ditahan dalam operasi agensi itu dengan JIM terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM serta seorang pegawai polis.

Kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan antara jam 2 petang hingga 5 petang di Ibu Pejabat SPRM dan JIM Pulau Pinang.

Hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai memanipulasi sistem MyIMMs menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi sehingga berjaya mengeluarkan 1,306 PLKS palsu.

Kegiatan itu menyebabkan kerajaan mengalami kerugian dianggarkan RM2.4 juta.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img