SEORANG lelaki maut selepas melanggar seekor lembu berkeliaran yang secara tiba-tiba melintas di Jalan Pasir Puteh – Telosan, dekat Kampung Jeram, pukul 12.50 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, mangsa berusia 21 tahun maut di tempat kejadian dengan kecederaan parah pada bahagian muka.
Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal dari arah Bandar Pasir Puteh menghala ke Telosan.
“Tiba di lokasi kemalangan, seekor lembu telah melintas di laluan penunggang motosikal.
“Oleh kerana jarak yang terlalu dekat, penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar haiwan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan.
Bagi mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan boleh terus ke balai berdekatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Pasir Puteh Inspektor Aliah Syafinah Ani Sarudin di talian 013-6706156


