KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi (KPK) terus memperkukuh agenda pembaharuan industri sawit negara menerusi Program Insentif Pembiayaan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSPKS 2.0) yang membantu pekebun kecil di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 4,364 pekebun kecil persendirian telah menerima manfaat program ini melibatkan kawasan seluas 12,145.51 hektar dengan jumlah pembiayaan RM190.13 juta.

Beliau berkata, TSPKS 2.0 membantu pekebun kecil melaksanakan penanaman semula pokok sawit yang telah melepasi umur ekonomi bagi meningkatkan produktiviti ladang, hasil dan pendapatan.
Katanya, kerajaan telah meluluskan peruntukan keseluruhan RM200 juta bagi pelaksanaan program ini, iaitu RM100 juta pada tahun 2024, RM50 juta pada tahun 2025 dan RM50 juta pada tahun 2026.
“Daripada peruntukan tahun 2026, sebanyak RM47.61 juta telah diluluskan kepada 1,133 pekebun kecil sehingga 30 Jun 2026.
“Pelaksanaan program ini turut menyumbang kepada peningkatan kadar penanaman semula kelapa sawit negara daripada 2.0 peratus pada tahun 2024 kepada 3.4 peratus pada tahun 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noraini, bagi mencapai sasaran kadar penanaman semula sekurangkurangnya 4 peratus setahun menjelang 2030, KPK akan terus memperluaskan TSPKS 2.0, menggalakkan penggunaan bahan tanaman berkualiti tinggi, memperkasakan khidmat Pegawai TUNAS MPOB serta meningkatkan penggunaan mekanisasi dan automasi.
Beliau memberitahu, penyertaan pekebun kecil secara berkelompok melalui Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) juga akan terus diperkukuh.
Tambahnya, penanaman semula merupakan pelaburan penting bagi memastikan hasil yang lebih tinggi, pendapatan yang lebih baik serta kelangsungan industri sawit negara.
“KPK kekal komited untuk memastikan industri sawit terus produktif, berdaya saing dan mampan, di samping meningkatkan kesejahteraan pekebun kecil,” katanya.






