Ops PeWA: JPJ sita kenderaan mewah dipandu warga asing

KENDERAAN mewah jenis Toyota Alphard dan Toyota Land Cruiser dipandu ahli perniagaan warga asing antara 107 kenderaan yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dilaksanakan sejak 16 Jun lalu hingga hari ini.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, kenderaan disita itu ada yang dimiliki sendiri oleh warga asing, manakala sebahagiannya didaftarkan atas nama warga tempatan.

ANTARA kenderaan mewah termasuk Toyota Alphard dan Land Cruiser yang disita dalam Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) di pejabat JPJ negeri di Seberang Jaya hari ini. GAMBAR: Facebook JPJ Pulau Pinang

Beliau berkata, tindakan sitaan dibuat atas kesalahan tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

“Terdapat kenderaan mewah dipandu warga asing yang dimiliki sendiri dan ada juga milik warga tempatan.

“Kenderaan yang disita terdiri daripada golongan profesional serta ahli perniagaan dari China dan Myanmar,” katanya dalam sidang media berhubung pelaksanaan Ops PeWA di Pejabat JPJ negeri di Seberang Jaya hari ini.

ANTARA motosikal yang disita dalam Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) di pejabat JPJ negeri di Seberang Jaya hari ini. GAMBAR: Facebook JPJ Pulau Pinang

Zulkifly berkata, Ops Khas PeWA dilaksanakan bagi membanteras kegiatan warga asing yang memandu atau mengendalikan kenderaan tanpa lesen memandu sah, selain mengesan pemilik kenderaan yang membenarkan individu tidak layak memandu kenderaan mereka.

Kata beliau, sepanjang operasi bermula 16 Jun hingga hari ini, sebanyak 8,458 kenderaan dipandu warga asing diperiksa.

“Hasil pemeriksaan, sebanyak 317 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan. Selain itu, 587 notis saman dikeluarkan kepada pesalah warga asing, manakala 107 kenderaan termasuk kereta mewah pelbagai jenama disita sepanjang operasi berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, tindakan bukan sahaja dikenakan terhadap pemandu yang memandu tanpa lesen, malah turut membabitkan pemilik kenderaan yang membenarkan individu berkenaan memandu.

Dalam pada itu, Zulkifly berkata, warga asing yang ingin memandu di negara ini perlu memiliki lesen memandu yang sah mengikut peraturan ditetapkan, termasuk lesen memandu Malaysia atau lesen memandu antarabangsa yang diperoleh sebelum memasuki negara ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img