POLIS menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kertas Pulas, Kuala Abang di Dungun kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun pada 28 Julai hasil risikan dan maklumat awam.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis dadah disyaki pil yaba seberat 712.70 gram, syabu seberat 402.50 gram dan heroin seberat 200.20 gram.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM116,546.30, manakala sitaan sebuah motosikal Honda RS-X bernilai kira-kira RM10,000 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM126,546.30.
“Bekalan dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 6,587 penagih,” katanya dalam sidang media di IPD Dungun hari ini, lapor Buletin TV3.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek berperanan sebagai penjaga stor bagi sindiket terbabit yang dipercayai mula aktif sejak Januari lalu.
Katanya, sindiket itu menjadikan rumah sewa sebagai lokasi penyimpanan bekalan dadah sebelum diedarkan dan bekalan tersebut dipercayai diperoleh daripada rangkaian sindiket warga tempatan.
Nik Ab Halim berkata, keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah.
“Bagaimanapun, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan kesalahan dadah mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 3 Ogos ini bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita motosikal milik suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah.
Nik Ab Halim menegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti pengedaran, pemilikan atau melindungi kegiatan dadah kerana jenayah itu mengancam keselamatan masyarakat dan masa depan negara.






