GBBSEM ingatkan pemandu e-hailing ‘kingmaker’ pilihan raya

ISU  tambang e-hailing perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan kerana pemandu e-hailing juga adalah ‘kingmaker’ yang menentukan menang kalah dalam politik, tidak kira dalam pilihan raya negeri atau pilihan raya umum.

Pengerusi Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-hailing Malaysia (GBBSEM), Zulkifli Othman berkata, kebanyakan pemandu adalah pencari nafkah untuk seisi rumah yang terdiri dari empat atau lima ahli keluarga yang juga pengundi berdaftar.

“Perlu diingat, kami juga adalah media bergerak di mana setiap pemandu berupaya menyebar naratif kepada belasan penumpang setiap hari, impak kesan berganda akan dirasai jika ribuan mengeluh tambang rendah akibat harga dinamik, algoritma atau apa juga alasan platform.

“Berkumpulnya sukarelawan hari ini kerana kami rasa sudah seperti bola ditendang ke sana ke mari dari kementerian ke kementerian, memorandum demi memorandum sekadar terima namun seolah dibakulsampahkan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebelum penyerahan memorandum susulan kepada Ketua Seksyen Unit Pengangkutan Awam Kementerian Pengangkutan Bahagian Darat, Dr. Azrin Abdul Majid di Kementerian Pengangkutan, di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, seramai kira-kira 100 pemandu berkumpul dalam Konvoi Pemandu E-hailing Malaysia (KOMPEM) Putrajaya – Chennah bagi menyatakan ketidakpuasan hati pekerja gig mengenai kadar tambang e-hailing kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Rancangan untuk ke Chennah, Negeri Sembilan dibuat memandangkan Anthony Loke adalah calon Pakatan Harapan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.

KOMPEM Putrajaya – Chennah bagaimanapun berubah kepada perhimpunan aman di pekarangan kementerian sebelum bergerak ke Pejabat Perdana Menteri untuk penyerahan memorandum susulan yang dibuat sejak 2024.

Mengulas mengenai perubahan berkenaan, Timbalan Pengerusi GBBSEM, Zailani Zainuddin berkata, konvoi ke Chennah dialihkan arah atas nasihat pihak berwajib memandangkan keadaan trafik dan situasi hangat menjelang PRN Negeri Sembilan.

“Wakil kementerian juga memberi jaminan isu tambang e-hailing tidak diketepikan dan kami menuntut jawapan balas dalam masa seminggu jika benar laungan kebajikan rakyat tidak dilacurkan,” tambahnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img