
PAKATAN Harapan (PH) yakin mampu mengekalkan pentadbiran di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok dengan menyasarkan kemenangan antara 21 hingga 22 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Keyakinan itu diluahkan Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari yang berkata, sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan kebijaksanaan pengundi dalam menilai prestasi PH sejak 2018, selain rekod pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menerajui negeri itu selama dua penggal.
“Kita cuba sedaya upaya untuk dapat minimum 19 kerusi dan kalau ada kemampuan yang lebih, kita mungkin boleh dapat di antara 21 hingga 22 kerusi. Itu jangkaan terbaik kita.
“Namun, kita percaya kepada kebijaksanaan pengundi dan akan meneruskan kempen secara konsisten bagi memastikan mandat untuk membentuk kerajaan negeri dapat dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang, Kuala Pilah malam tadi.
Amirudin bagaimanapun mengakui landskap politik pada PRN kali ini lebih mencabar berikutan perubahan gabungan parti.
“Tahun 2018 merupakan tahun terbaik bagi PH apabila kita menang 20 kerusi.
“Disebabkan gabungan BN dan PH pada 2023, kita memperoleh lebih kurang 31 kerusi.
“Kali ini cabarannya sedikit berubah kerana landskap pilihan raya dan gabungan politik juga berbeza.
“Kita sedar mengenai cabaran itu dan masih berusaha mendapatkan jumlah kerusi yang selesa untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Mengulas dakwaan ‘gelombang biru’ dari Johor akan turut melanda Negeri Sembilan, Amirudin berkata, ia hanyalah naratif yang cuba dibawa Barisan Nasional (BN).
“Sudah pasti itu cuba dicipta oleh BN. Namun di sini kita mempunyai sejarah kepimpinan serta kekuatan Menteri Besar sendiri.
“Kita pernah berdepan dan menyerap gelombang hijau di Selangor serta Negeri Sembilan.
“Kita melihat dinamika kali ini sebagai sesuatu yang baharu dan akan terus mengetengahkan solusi berteraskan konsep Malaysia MADANI serta kesatuan rakyat, berbanding retorik yang memecah-belahkan masyarakat mengikut kaum,” katanya.






