PELAN Pemulihan dan Penstrukturan Tabung Haji (TH) berjaya menangani kerugian pelaburan RM12.6 bilion iaitu RM10 bilion, melalui Pelan Pemulihan 2018 dan RM2.6 bilion secara berperingkat sehingga hujung tahun lalu.
TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelan penstrukturan semula itu adalah langkah penting bagi menyelamatkan institusi itu daripada risiko insolvensi, sekali gus memastikan kepentingan lebih sembilan juta pendeposit terus terpelihara.
Menurut kenyataan itu, penjualan aset kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik penuh kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 berjaya memulihkan kedudukan kewangan TH dan membolehkan institusi itu kembali berada di landasan yang mampan.
Katanya, TH kekal komited melindungi kepentingan pendeposit, mengukuhkan kepercayaan awam, serta memastikan institusi ini terus beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.
“TH ketika menjual aset berkenaan meletakkan klausa Hak Keutamaan untuk Menolak terhadap aset terbabit, jika UJSB bercadang menjualnya ke pasaran.
“UJSB ada membuat beberapa tawaran untuk menjual aset kepada TH sepanjang penerbitan sukuk, namun semuanya tidak memenuhi penilaian kriteria agensi berkenaan.
“Hak ini tidak meletakkan obligasi kepada TH membeli semula aset terbabit, sebaliknya memiliki keutamaan membuat keputusan membeli jika UJSB berhasrat menjualnya pada masa hadapan, tertakluk kepada penilaian komersil dan kesesuaian kepada kriteria pelaburan TH ketika itu.
“Namun, TH tahun ini, membeli semula tanah di TRX pada nilai pasaran semasa RM270 juta, berbanding harga asal penjualan kepada UJSB sebanyak RM400 juta, selepas meneliti aset ditawarkan UJSB.
“TH juga sudah membeli semula ladang kelapa sawit UJ Estates (Holdings) Sdn Bhd pada nilai RM695 juta, berbanding harga penjualan asal RM800 juta,” menurut kenyataan TH hari ini.
Sebelum ini, UJSB dilaporkan membeli aset TH bernilai RM9.7 bilion yang transaksi itu dibiayai dua siri sukuk terbitan syarikat terbabit dengan surat sokongan kerajaan dan kadar keuntungan 4.05 dan 4.1 peratus setahun.
TH memaklumkan, pelan penstrukturan semula pada 2018, bertujuan menangani defisit kewangan yang memerlukan tindakan jaminan kewangan segera kerajaan ketika itu, bagi melindunginya daripada insolvensi.
Ini kerana, menurut TH, jurang aset dan liabiliti pada akhir 2017, terus meningkat melebihi RM10 bilion pada akhir tahun berikutnya, menyebabkan TH gagal memenuhi syarat mengisytiharkan agihan keuntungan di bawah Akta Tabung Haji 1995, jika tidak ditangani sebelum akhir 2018.
“TH ada empat pilihan bagi melaksanakan pelan pemulihan dan penstrukturan sebelum akhir 2018, dan memilih penjualan aset kurang berdaya saing serta bermasalah pada nilai premium kepada kerajaan bagi menutup jurang antara aset dan liabiliti supaya TH kekal upaya.
“Jika tiada jaminan kerajaan ketika itu, ia boleh menyebabkan krisis pasaran kewangan dan menggugat kestabilan negara apabila TH terpaksa menjual aset pada harga terdesak di pasaran.
“Ini bagi memenuhi permohonan pengeluaran tunai besar dan tidak terkawal oleh pendeposit ketika TH gagal mengisytiharkan agihan keuntungan kepada pendepositnya,” jelas TH.
Dalam pada itu, TH turut menyatakan, kadar agihan keuntungan diisytiharkan bertambah baik dan stabil dengan pulangan meningkat kepada 3.25 peratus bagi 2024 dan 3.5 peratus tahun berikutnya, berbanding 1.25 peratus ketika 2018.
Agihan keuntungan itu, katanya, dibuat selepas mengambil kira rosot nilai aset bermasalah yang tidak dapat dipindahkan ke UJSB pada akhir 2018, atas alasan tertentu bernilai RM2.6 bilion.
“Kini kedudukan kewangan TH lebih kukuh dan sudah mula membina semula rizab untuk masa depan lebih stabil,” kata kenyataan itu.






