Nahas ragut 3 beranak: Lelaki mengaku tidak bersalah memandu di bawah pengaruh dadah

SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Kajang hari ini atas tiga pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian tiga beranak, kelmarin.

Tertuduh, Mohd Norazlan Mohd Tamyiz, 42, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, bapa kepada dua anak itu didakwa memandu Perodua Aruz di bawah pengaruh dadah berbahaya jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kematian Hafifi Rahmat, 34; isterinya, Nik Aishah Asilah Nik Mohd Zamzuri, 32; dan anaknya, Muhammad Rafie Hanzal Hafifi, 3, di Jalan Batu 17, Hulu Langat, Kajang pada jam 7.56 pagi, 29 Julai lalu.

TERTUDUH, Mohd Norazlan Mohd Tamyiz didakwa atas tiga pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian tiga beranak di Hulu Langat kelmarin, di Mahkamah Majistret Kajang hari ini. GAMBAR: Ahmad Amirul Fahmi Ahmad Pauzi

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000 jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dari tarikh sabitan dan, dalam hal sabitan kali kedua atau seterusnya, hilang kelayakan selama tempoh 20 tahun dari tarikh sabitan mengikut Seksyen 44(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Farhanim Abdul Halim tidak menawarkan sebarang jaminan.

Peguam S Priyalatha yang mewakili Mohd Norazlan memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum atas alasan tertuduh menanggung isteri dan dua anak serta ibu bapa yang uzur.

“Tertuduh bekerja sebagai buruh kampung dengan pendapatan RM1,000 dan pencari nafkah tunggal dalam keluarga,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan melapor diri di balai polis pada setiap 1 hari bulan setiap bulan.

Tarikh sebutan ditetapkan pada 18 September depan untuk serahan dokumen dan laporan patologi.

Media sebelum ini melaporkan tiga beranak termasuk kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Batu 17, Hulu Langat kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, hasil siasatan awal mendapati Perodua Aruz yang dipandu tertuduh dipercayai memasuki laluan mangsa sebelum berlaku perlanggaran.

Ketiga-tiga mangsa dilaporkan tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Tertuduh semalam direman empat hari di Mahkamah Majistret Kajang bagi membantu siasatan kes tersebut.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img