OPERASI menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bertukar kecoh apabila seorang individu didakwa mengugut menggunakan pisau dan menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas di Jalan Sama Gagah 20, Klang, semalam.
Dalam operasi hampir empat jam bermula jam 8.30 malam itu, sebanyak 12 ekor anjing liar berjaya ditangkap hasil tindakan penguatkuasaan yang dijalankan susulan aduan penduduk mengenai gangguan keselamatan akibat kebanjiran haiwan berkenaan.
MBDK dalam kenyataan memaklumkan operasi dijalankan mengikut Undang-Undang Kecil 17(1) Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing MPK 2007 dengan sokongan Jawatankuasa Kesihatan, Kemasyarakatan dan Pembangunan Mampan serta dimaklumkan kepada ahli majlis kawasan.
Menurutnya, operasi itu membabitkan 11 kakitangan, seorang pegawai Jabatan Kesihatan MBDK dan kira-kira 50 penduduk setempat.
“Semua tangkapan dilaksanakan menggunakan peralatan ‘loop’ mengikut piawaian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan proses penguatkuasaan dijalankan secara selamat serta mengutamakan kebajikan haiwan.
“Dalam operasi itu, sebanyak 12 ekor anjing liar berjaya ditangkap,” katanya.
Bagaimanapun, ketika operasi di Jalan Sama Gagah 20, sekumpulan individu didakwa menghalang anggota MBDK ketika mereka cuba menangkap seekor anjing yang berkeliaran tanpa pengawasan di jalan awam.
Menurut MBDK, seorang individu bertindak agresif dengan cuba memotong tali ‘loop’ menggunakan sebilah pisau selain mengugut untuk mencederakan diri sendiri sekiranya anjing berkenaan tidak dilepaskan.
“Tindakan tarik-menarik dan kekecohan yang berlaku telah menyukarkan usaha anggota MBDK untuk melonggarkan serta melepaskan peralatan tersebut demi keselamatan haiwan sehingga menyebabkan anjing itu mati.
“Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang dan menghindari kecederaan kepada mana-mana pihak, anggota MBDK melepaskan peralatan tersebut,” katanya.
MBDK berkata, pihak polis turut hadir ke lokasi bagi mengawal keadaan dan laporan polis telah dibuat berhubung insiden menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta ancaman menggunakan senjata tajam.
Menurutnya, pihak berkuasa tempatan itu kesal dengan kejadian berkenaan namun kekal komited melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, berhemah dan mematuhi piawaian kebajikan haiwan.
“MBDK menyeru semua pemilik haiwan peliharaan supaya bertanggungjawab dengan memastikan lesen haiwan sentiasa sah serta tidak membiarkan haiwan berkeliaran sehingga mengganggu keselamatan awam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
“Ia masih dalam siasatan polis dan mohon beri ruang kepada polis menjalankan siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi lebih tiga minit di media sosial yang memaparkan kekecohan berlaku ketika operasi menangkap anjing liar di kawasan berkenaan.






