Abang dipenjara 18 tahun, adik pula bebas kes bunuh rakan tanpa niat

DUA beradik menerima nasib berbeza apabila Mahkamah Tinggi Ayer Keroh hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap abang sulung kerana menyebabkan kematian seorang rakan, manakala adiknya dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan berkaitan kejadian itu.

Hakim Datuk Justice P. Suria Kumar menjatuhkan hukuman terhadap T. Thurairaj, 34, selepas mendapati tertuduh bersalah atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapannya pada 13 September 2020, lapor Harian Metro.

Sementara itu, adiknya, Gunaraj, 33, dilepaskan dan dibebaskan selepas mahkamah mendapati wujud keraguan munasabah terhadap dakwaan bahawa dia terbabit secara aktif dalam serangan yang menyebabkan kematian mangsa.

Kedua-dua tertuduh sebelum ini didakwa atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun pertuduhan itu dipinda kepada Seksyen 304(a) pada akhir kes pembelaan.

Suria Kumar berkata, Thurairaj didapati bertindak di bawah pengaruh provokasi serius dan ganas oleh si mati serta seorang saksi pendakwaan sehingga menyebabkan dia hilang kawalan diri buat seketika.

Menurut beliau, tertuduh tidak membawa parang ke lokasi kejadian, sebaliknya mengambil senjata itu secara spontan ketika pertengkaran berlaku.

“Keadaan itu menunjukkan tindakan tertuduh bukan dirancang atau dilakukan dengan niat lebih awal.

“Walaupun si mati mengalami 43 kecederaan, keadaan itu tidak dengan sendirinya menafikan pembelaan berhubung provokasi kerana keseluruhan keadaan dan urutan kejadian perlu dipertimbangkan,” katanya ketika menyampaikan penghakiman.

Berhubung Gunaraj, beliau berkata, pembelaan tertuduh bahawa dia datang ke lokasi selepas dipanggil ahli keluarga untuk melihat keadaan abangnya disokong oleh beberapa saksi.

Selain itu, katanya, tiada bukti fizikal atau dapatan forensik yang menunjukkan parang yang didakwa dibawa tertuduh mempunyai kesan darah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 15 hingga 18 tahun terhadap Thurairaj.

Bagaimanapun, peguam Haijan Omar dan Asyraaf Abu Bakar Hamzah memohon hukuman lebih ringan antara lapan hingga 10 tahun dengan alasan kejadian berlaku susulan provokasi oleh mangsa dan seorang saksi pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Thurairaj didakwa menyebabkan kematian pemandu lori, R. Anbarasu, 25, tanpa niat antara jam 9.15 malam hingga 9.30 malam di Jalan 17, Taman Pengkalan Indah, Alor Gajah pada 13 September 2020.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img