PERJANJIAN Keyakinan dan Perbekalan (CSA) perlu dinilai berdasarkan tujuan, syarat dan pelaksanaannya, bukan semata-mata berdasarkan siapa yang menandatangani perjanjian tersebut.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata, MCW melihat terdapat dua pertimbangan penting dalam isu ini.
Pertama, kata beliau kestabilan politik merupakan keperluan negara. CSA ialah mekanisme kerjasama dalam sistem demokrasi berparlimen yang membolehkan kerajaan mendapatkan sokongan terhadap usul keyakinan dan belanjawan tanpa semestinya menghapuskan peranan pembangkang.
‘’Oleh itu, kerjasama politik sedemikian tidak dengan sendirinya bermaksud mengkhianati mandat rakyat,’’ katanya kepada utusanmelayuplus.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan CSA tidak boleh dijadikan budaya politik baharu negara susulan pendekatan itu seolah-olah tidak mengiktiraf pilihan rakyat selain menyemarakkan salah guna kuasa demi mendapatkan sokongan.
Timbalan Presiden Pas itu berkata, kerajaan sebaliknya perlu menyediakan peruntukan kepada semua ahli Parlimen yang dipilih rakyat tanpa mengira parti atau kedudukan mereka sebagai kerajaan mahupun pembangkang.
“Kita tidak boleh jadikan CSA sebagai satu budaya politik baru negara. Ia seolah-olah kita tidak iktiraf pilihan rakyat dan menyemarakkan salah guna kuasa demi untuk mendapatkan sokongan. Pandangan saya kerajaan kena sediakan peruntukan kepada semua wakil yang telah dipilih oleh rakyat, ia adalah tanggungjawab terhadap kawasan yang diwakili.
Mengulas lanjut Jais berkata, pertimbangan kedua ialah kebimbangan Tuan Ibrahim mengenai kemungkinan penyalahgunaan kuasa juga wajar diberikan perhatian.
‘’MCW berpandangan bahawa peruntukan pembangunan kawasan Parlimen tidak sepatutnya dijadikan alat tawar-menawar politik sehingga rakyat di kawasan pembangkang menerima layanan berbeza semata-mata kerana pendirian wakil rakyat mereka.
‘’Wang pembangunan ialah wang rakyat, bukannya milik parti pemerintah atau mana-mana pemimpin politik. Bagaimanapun, kita juga tidak boleh terus menyamakan CSA dengan rasuah atau salah guna kuasa tanpa meneliti kandungan perjanjian dan bukti pelaksanaannya,’’ katanya.
Sehubungan kata beliau, MCW mencadangkan supaya keseluruhan terma CSA didedahkan kepada umum, peruntukan kawasan Parlimen diagihkan berdasarkan kriteria yang telus dan saksama, serta kebebasan Ahli Parlimen untuk menjalankan fungsi semak dan imbang terus dihormati.
‘’Malaysia memerlukan kestabilan politik, tetapi kestabilan itu mesti dibina atas prinsip integriti, akauntabiliti dan penghormatan terhadap mandat rakyat. CSA boleh menjadi instrumen kerjasama demokrasi.
‘’Namun, ia tidak seharusnya menjadi mekanisme membeli kesetiaan politik menggunakan sumber awam. Kesimpulannya, kestabilan tanpa integriti boleh membuka ruang penyalahgunaan kuasa, manakala persaingan politik tanpa kestabilan boleh menjejaskan kepentingan rakyat. Kedua-duanya perlu diseimbangkan,’’ katanya.





