Lagi peserta RXZ Members 8.0 maut, rempuh Triton berhenti di lorong kecemasan

SEORANG lagi peserta Perhimpunan RXZ Members 8.0 maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), di Maran, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi di Kilometer 147.1 arah Kuantan itu, mangsa, Muhamad Fikri Jamallunasi, 34, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Temerloh ke Kuala Terengganu bagi menghadiri Perhimpunan RXZ Members 8.0.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, sebuah Mitsubishi Triton yang turut dalam perjalanan ke perhimpunan berkenaan sedang berhenti di lorong kecemasan untuk membantu ahli konvoi yang mengalami kerosakan motosikal.

“Secara tiba-tiba, motosikal Yamaha yang ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang sebelah kanan kenderaan tersebut sebelum terbabas dan mangsa terjatuh di sebelah kanan jalan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu serta penumpang Mitsubishi Triton tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, setakat ini tiada saksi tampil membantu siasatan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, Inspektor Muhaimin Omar di talian 017-9436741 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img