DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan terus diberi perhatian dan keutamaan dalam Belanjawan Negara yang dijadualkan dibentangkan pada Oktober depan.
Perdana Menteri berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk mengangkat martabat rakyat marhaen dan golongan miskin di seluruh negara.
Menurut Anwar, selagi beliau diberi amanah mentadbir kerajaan, peranan AIM tidak akan dilupakan dalam setiap perancangan kewangan negara.
“Insya-Allah, pada awal Oktober ini akan ada Belanjawan Negara. Saya tidak akan lupa peranan Amanah Ikhtiar. Dalam tiap belanjawan, saya akan bagi perhatian, tingkatkan kerjasama dan bantuan kepada AIM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Sahabat Usahawan MADANI Amanah Ikhtiar Malaysia Negeri Sembilan di Port Dickson hari ini.
Perdana Menteri berkata, bantuan berkenaan bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya menjadi dasar tetap kerajaan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah mendapat akses kepada modal dan pengurusan yang lebih baik.
“Semua orang cakap, di Negeri Sembilan masa musim-musim ini (Pilihan Raya Negeri) semua orang turun janji nak bagi itu, bagi ini. Saya bukan datang nak janji. Saya datang beritahu 2023 lagi kita dah bagi, 2024, 2025, bukan sebab pilihan raya di Negeri Sembilan, ini memang dasar Kerajaan MADANI yang saya pimpin,” ujarnya.
Anwar dalam pada itu turut memuji tahap disiplin tinggi yang ditunjukkan peminjam AIM yang majoritinya terdiri daripada golongan wanita.
“Saya hormat kepada wanita (dalam AIM) sebab mereka pinjam, mereka bayar. Bos-bos bank dan pakar ekonomi patut turun ke bawah belajar daripada Sahabat Ikhtiar bagaimana pengurusan orang pinjam dilakukan. Ada orang besar pinjam berjuta-juta tapi malas bayar, sedangkan rakyat miskin yang untung RM100 atau RM200 sebulan, mereka tetap bayar hutang,” ujarnya.
Perdana Menteri berkata, AIM mempunyai rekod pengurusan yang bersih daripada amalan rasuah serta terbukti berkesan membantu golongan berpendapatan rendah meskipun pernah berdepan masalah hutang dan ketirisan.
Selain itu, beliau menegaskan walaupun majoriti ahli AIM terdiri daripada masyarakat Melayu, kerajaan turut membuka ruang kepada komuniti India yang miskin untuk menyertai program berkenaan.
“Mengapa kita ambil India? Kerana keluarga India yang miskin juga perlu dibantu. Kita bantu mereka sebagai sebahagian daripada keluarga besar kita tanpa mengira kaum,” katanya.






