Anak melecur, ibu hamil cedera dalam nahas babit peserta RXZ Members 8.0

SEORANG ibu hamil bersama anak lelakinya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan seorang peserta RXZ Members 8.0 di Simpang Empat Kampung Buluh Gading, Kuala Nerus, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, Ahmad Asyraf Talhah, 13, dilaporkan melecur sehingga 60 peratus pada bahagian pinggang hingga ke bawah selepas motosikal dinaikinya bersama ibunya terbakar.

Bapa mangsa, Talhah Mahmud, 61, berkata, ketika kejadian isterinya, Syafirah Salim, 36, yang sedang hamil tujuh bulan dalam perjalanan ke Pasar Batu Enam untuk membeli keperluan harian.

Menurutnya, sebuah motosikal dipercayai ditunggang peserta RXZ Members 8.0 merempuh motosikal jenis Honda Beat yang dinaiki isteri dan anaknya sebelum berlaku tumpahan minyak serta kebakaran.

“Anak saya kini berada di wad pembedahan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk menjalani rawatan lanjut akibat kecederaan melecur.

“Isteri saya pula sedang hamil tujuh bulan dan dijangka bersalin dua bulan lagi. Saya harap kandungannya tidak terjejas,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Buletin TV3.

Talhah berkata, dia reda dengan kejadian itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak. Saya cuma berharap isteri dan anak saya segera sembuh,” katanya.

Menurutnya, dia sendiri masih menjalani rawatan fisioterapi selepas terbabit dalam kemalangan lima bulan lalu dan sehingga kini terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak.

Terdahulu, media melaporkan kemalangan membabitkan peserta RXZ Members 8.0 itu menyebabkan motosikal Honda Beat dinaiki mangsa hangus sepenuhnya, manakala sebuah motosikal Yamaha RXZ turut terbakar kira-kira 80 peratus.

Difahamkan, kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img