Kapal bawa 41 PATI Indonesia rempuh bot ronda APMM

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak mematahkan cubaan menyeludup masuk 41 pendatang tanpa izin warga Indonesia di perairan Teluk Senangin, berhampiran Batu Malang dekat Lumut, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Perak, Mohamad Shukri Khotob berkata dalam operasi hasil maklumat awam yang diterima pada 12.40 tengah malam tadi, sebuah vesel nelayan Indonesia yang bertindak agresif telah ditahan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan membawa 29 lelaki dan 12 wanita berusia antara 21 hingga 57 tahun yang disyaki memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Semasa operasi, tekong vesel bertindak agresif dengan cuba melarikan diri serta melakukan beberapa olah gerak berbahaya bagi mengelak daripada ditahan.

“Vesel tersebut turut merempuh bot ronda APMM sebanyak empat kali sehingga mengancam keselamatan anggota yang sedang melaksanakan tugas penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan.

Shukri berkata bagi memastikan keselamatan anggota, sebuah kapal ronda APMM telah diatur gerak sebagai aset sokongan, sebelum vesel berkenaan berjaya dipintas dan ditahan pada 3.35 pagi.

“Tiada kecederaan dilaporkan membabitkan anggota APMM sepanjang operasi. Vesel bersama semua tahanan kemudiannya diiring ke Jeti Jabatan Kastam Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img