SEBANYAK 92 laporan polis diterima, manakala 24 kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berakhir tengah malam tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, daripada jumlah itu, kebanyakan kes membabitkan kesalahan pilihan raya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Sejak penamaan calon sehingga hari ini, 1 Ogos 2026, kita telah menerima 92 laporan polis. Jadi kita buka sebanyak 24 kertas siasatan dan kebanyakan kes membabitkan kesalahan khianat terhadap banner dan bendera parti yang bertanding.
“Keseluruhannya saya lihat perjalanan PRN Negeri Sembilan begitu baik dan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, Seremban hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri serta Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
Mohd Khalid berkata, kes lain turut disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berikutan wujud kenyataan yang menyentuh isu sensitif dan perkauman sepanjang tempoh berkempen.
Mengulas mengenai kes pemberian wang sepanjang kempen PRN, beliau berkata, sebanyak empat laporan polis telah diterima setakat ini.
“Kita ada empat laporan polis berkaitan (pemberian wang). Masih dalam siasatan untuk kita menemu duga mereka yang terbabit dan mendapatkan bukti berhubung kejadian tersebut,” ujarnya.






