Berang disuluh lampu tinggi, dua lelaki ditahan libas parang

TINDAKAN dua lelaki mengamuk dengan melibas parang ke arah sebuah kereta selepas berang disuluh lampu tinggi membawa padah apabila mereka ditahan polis kurang 14 jam selepas kejadian di Kulai.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 30 tahun itu ditahan pada jam 7.10 malam semalam susulan laporan polis yang diterima pada jam 8.04 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5.50 pagi di jambatan bertingkat (flyover) Senai menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

“Siasatan mendapati kejadian membabitkan empat lelaki yang menaiki sebuah kereta.

“Ia berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek selepas pengadu memberikan lampu tinggi secara berterusan berikutan tindakan suspek memotong masuk ke lorong kanan secara mengejut pada kelajuan perlahan sehingga hampir melanggar kereta pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika berada di lokasi kejadian, suspek bertindak memotong kenderaan pengadu sebelum berhenti secara mengejut di hadapan kereta mangsa.

“Seorang daripada suspek kemudian keluar dari kenderaan sambil membawa parang, menjerit dan mengarahkan pengadu keluar dari kereta.

“Suspek turut melibas parang ke bahagian hadapan bonet kereta pengadu sehingga menyebabkan kesan cat terkopek,” katanya.

Tan berkata, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risikan/Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai kemudian berjaya mengesan dan menahan dua daripada empat suspek pada hari yang sama.

Katanya, polis turut merampas pelbagai barang dipercayai digunakan ketika kejadian termasuk sebuah parang sepanjang 30 sentimeter bersama sarung, kunci kereta, telefon bimbit, baju-T putih, seluar denim hitam dan topi hitam.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif daripada penyalahgunaan dadah.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengesan individu lain yang masih terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img