KERAJAAN menyalurkan lebih RM20 bilion kepada rakyat hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi termasuk Program Budi MADANI RON95 (BUDI95).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia menerusi enam program utama bantuan bersasar khususnya Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Kita lihat dari segi pemberian STR dengan SARA, kita telah menaikkan kepada RM15 bilion. Kita juga telah memberi program-program seperti Jualan Rahmah yang dinaikkan sehingga RM600 juta untuk tahun ini, jauh lebih tinggi daripada apa yang kita ada sebelum ini untuk menolong rakyat dengan lebih baik kepada golongan yang kita sasarkan.” katanya ketika berucap di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Ah Fang Bin Suan mengenai impak penjimatan tahunan daripada pelaksanaan subsidi bersasar RON95.
Amir Hamzah berkata, RM1 bilion diperuntukkan untuk menangani kos sara hidup termasuk Jualan Rahmah MADANI telah ditingkatkan peruntukan kepada RM600 juta berbanding RM100 juta sejak ia diperkenalkan pada tahun 2023 bagi menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan di semua 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga 40 lokasi di Wilayah Persekutuan.
Selain itu kata beliau, Program Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah hampir RM800 juta turut disediakan bagi menyediakan keperluan asas persekolahan anak-anak.
Katanya, inisiatif Pas Bulanan My50 dengan peruntukan sebanyak RM216 juta juga disediakan bagi meringankan beban kewangan kepada rakyat yang menggunakan pengangkutan awam.
Kerajaan turut memperuntukkan RM200 juta bagi Kad 30 Hari dan Kad Konsesi di bawah BAS.MY yang memanfaatkan pengguna perkhidmatan bas henti-henti, termasuk golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas berusia 60 tahun ke atas, pelajar sekolah dan mahasiswa.
Pelaksanaan subsidi bersasar RON95 menerusi program BUDI95 dianggarkan mampu menjimatkan perbelanjaan fiskal kerajaan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung kepada harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang dan corak penggunaan sebenar.
“Sehingga 31 Julai lalu, lebih 14.2 juta rakyat daripada lebih 16.7 juta individu yang layak telah menikmati RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, melibatkan penggunaan melebihi 13.4 bilion liter,” jelas Amir Hamzah.






