SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata dengan melarikan selaras senapang milik sebuah syarikat keselamatan di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, bulan lalu.
Tertuduh, Ahmad Shukri Suhairin, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun dengan menggunakan sepucuk pistol jenis revolver sebelum melarikan selaras senapang jenis ‘pump gun’ milik sebuah syarikat keselamatan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan cawangan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi pada jam 5.45 petang, 20 Julai lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar yang mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Rozuddin Muhammed memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain menghidap masalah psikiatri termasuk kebimbangan dan kemurungan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 selain mengarahkan dia melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Mahkamah turut menetapkan 14 September sebagai tarikh sebutan semula kes, lapor Harian Metro.
Sebelum ini, media melaporkan cubaan merompak wang tunai kira-kira RM82,000 ketika proses pemindahan wang dari sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi berjaya digagalkan hasil tindakan pantas seorang pekerja syarikat keselamatan.






