BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas jentera berat serta hampir 17,000 batang kayu bernilai lebih RM2.3 juta selepas menyerbu sebuah kilang kayu di Kampung Sungai Embak di Kuala Krai petang ini.
Serbuan jam 3 petang itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan menerusi Op Bersepadu Khazanah dan dalam operasi tersebut, lima lelaki termasuk pemilik premis berusia antara 31 hingga 62 tahun ditahan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika serbuan seorang lelaki dikesan sedang mengendali jentera berat, manakala empat yang lain sedang memotong kayu di dalam kilang.
Beliau berkata, pihaknya mendapati pelbagai jenis kayu di kilang berkenaan dipercayai tidak bercukai, namun kilang berkenaan mempunyai lesen sah sehingga Disember tahun ini.
Katanya, hasil semakan Cawangan Unit Berasaskan Kayu (IBK) Jabatan Perhutanan Machang mengesahkan kayu-kayu yang berada di kawasan kilang dipercayai tidak bercukai.
“Berikutan itu, kita merampas hampir 17,000 batang kayu pelbagai saiz dan spesis, dua jentera berat dan peralatan mesin memotong kayu membabitkan nilai keseluruhan lebih RM2.3 juta.
“Kita juga menahan pemilik premis dan empat pekerjanya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313),” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Ahmad Radzi, hasil soal siasat pemilik kayu berkenaan mendakwa premis terbabit sudah beroperasi sejak April lalu.
Katanya, suspek turut mendakwa bekalan kayu hutan yang diproses di kilang berkenaan diperoleh daripada penduduk setempat. Kayu-kayu berkenaan dipercayai tidak bercukai sekali gus menimbulkan syak bahawa sumber bekalan kayu diperoleh secara tidak sah.
“Bekalan kayu siap diproses diedarkan kepada beberapa kilang pemprosesan palet kayu di sekitar Kelantan sebagai bahan mentah untuk penghasilan palet dan produk berasaskan kayu.
“Pengedaran dipercayai dibuat secara berperingkat mengikut permintaan pelanggan bagi tujuan pemasaran dan pembekalan kepada pasaran tempatan serta sektor perindustrian,” katanya.






