DUA pelajar Tingkatan Lima maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kereta sebelum tercampak ke laluan bertentangan dan dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan di Kilometer 119 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, di Temerloh, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, penunggang motosikal, Muhammad Nazim Dzafran Mohd Faizul dan pembonceng, Muhammad Hafizuddin Abdullah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nasyim Bahron berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Chenor sedang dalam perjalanan dari bandar Temerloh menuju ke Maran.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kereta sebelum melanggar bahagian belakang sebelah kanan kenderaan berkenaan.
“Pada masa sama, sebuah MPV yang datang dari arah bertentangan menghala ke Temerloh tidak sempat mengelak lalu melanggar kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya.
Menurutnya, pemandu kereta berusia 34 tahun dan pemandu MPV berusia 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Temerloh untuk dibedah siasat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






