TIGA lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki yang dibungkus dan dililit dengan jaring ikan di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, Batu Pahat semalam.
Timbalan Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai kira-kira 12.30 tengah hari mengenai mayat berkenaan yang ditemui dalam keadaan tangan dan kaki mangsa diikat dengan pita pelekat.
Katanya, semakan lanjut dan mendapati terdapat satu laporan polis dibuat oleh seorang perempuan warga tempatan pada 29 Julai lalu mengenai kehilangan suaminya di Mutiara Rini, Iskandar Puteri.
“Berdasarkan pengecaman awal yang dibuat, mayat mangsa dikenal pasti waris sebagai individu yang dilaporkan hilang berdasarkan pakaian dan barangan milik mangsa yang ditemui.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Batu Pahat menahan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 26 hingga 40 tahun di sekitar kawasan Batu Pahat,” katanya lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, semakan rekod jenayah lampau ke atas ketiga-tiga suspek mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.
Chuan Huat berkata, semua suspek direman hingga 10 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis namun tidak menolak kemungkinan pembunuhan berpunca daripada hutang.






