Biarlah Ismail pilih ADUN BN-PN terbaik jadi Exco…

HARI ini Datuk Seri Ismail Lasim memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan (NS).

Sudah pasti ramai menanti  siapakah yang akan menjadi pilihan ADUN Juasseh itu untuk menyertai pasukan pentadbiran negeri sebagai Exco bagi menguruskan negeri penuh adat tersebut.

Tanggungjawab yang dipikul oleh Ismail amat berat kerana beliau menjadi MB selepas tujuh tahun jawatan itu tidak disandang oleh pemimpin UMNO selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum 2018.

Sejak  itu, jawatan MB disandang oleh Datuk Seri Aminuddin Harun daripada PKR hinggalah pada 1 Ogos lalu. Walaupun pada 2023, BN dan PH bekerjasama menubuhkan Kerajaan NS tetapi kerusi MB bukan milik UMNO.

Oleh itu Ismail harus faham  amanah yang dipikul oleh beliau harus dilunas dengan sebaik-baiknya. Bagi tujuan itu, pelantikan seorang Exco perlu dilakukan secara berhati-hati, janganlah pilih berdasarkan kawan, janganlah melantik kerana mahu menjaga hati.

Sebaliknya, pelantikan perlu dibuat berdasarkan keupayaan dan kemampuan untuk melaksanakan tanggungjawab memandangkan rakyat ternanti-nanti apakah bentuk kepimpinan dan pengurusan yang mahu dipamerkan oleh Ismail.

Justeru Ismail harus diberi kebebasan memilih barisan exco yang mantap. Barisan Nasional (BN) NS beruntung kerana daripada 18 calon yang menang 13 daripadanya berusia bawah 55 tahun, dua ADUN berusia bawah 60 tahun dan 3 orang atas 60 tahun termasuk Ismail yang berusia 67 tahun.

Daripada jumlah itu, selain Datuk Seri Mohamad Hasan terdapat tiga ADUN menjadi Exco sebelum ini iaitu Datuk Mustapha Nagoor Palong) bekas Exco Pembangunan Belia dan Sukan (2023–2026),Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi) bekas Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital (2023–2026) dan Datuk Zaifulbahri Idris ( Chembong) yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Mohamad Hasan bagi penggal (2013–2018) dengan memegang portfolio Exco Modal Insan, Belia dan Sukan.

Seorang lagi ialah ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias pernah menyandang jawatan Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2013–2018). Kemudian sebagai Exco Kanan yang memegang portfolio Kemajuan Desa, Perladangan, Komoditi, Pertanian dan Keterjaminan Makanan (2023–2026).

Bagaimanapun, semalam Jalaluddin menegaskan beliau tidak menawarkan diri untuk dilantik sebagai Exco kerana mahu memberikan peluang kepada pemimpin lebih muda yang mampu membawa idea serta pendekatan baharu dalam pentadbiran negeri.

“Saya pernah menjadi wakil rakyat dan Exco kanan. Sudah lama saya berkhidmat di Negeri Sembilan, jadi berilah peluang kepada pemimpin muda yang mempunyai idea segar dan tenaga baharu untuk menganggotai barisan pentadbiran negeri,” katanya lapor Bernama.

Selain itu Jalaluddin juga mahu semua pihak berikan kepercayaan kepada Ismail untuk menentukan hala tuju serta corak pentadbiran NS.

“Jangan diganggu, sebaliknya beri ruang kepada beliau untuk melaksanakan tanggungjawab. Tiada isu merajuk atau sebagainya kerana matlamat saya untuk memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada PRN telah tercapai,” katanya kepada Bernama .

Penulis bersetuju dengan kenyataan Jalaluddin itu kerana masa sudah tiba untuk NS yang diketuai oleh Ismail membariskan barisan yang menggabungkan antara mereka yang berpengalaman dan muka baharu.

BN NS ‘tidak kering’ calon bagi mengisi jawatan tersebut sehingga perlu menawarkan kepada ADUN lain atas hujah Kerajaan Perpaduan. BN masuk bertanding dengan persefahaman dengan PN. Hasilnya BN menang 18 kerusi PN menang 7 kerusi. Pengundi memberi kepercayaan itu kerana mereka menolak PH.

Oleh itu Ismail dengan panduan BN pusat perlu memilih dalam kalangan 18 calon BN dan 7 calon PN untuk menjadi Exco.

Ramai  lagi yang ada. Antara Siow Kong Choon (MCA), 37 tahun, Datuk Mohd Razi Mohd Ali: 53 tahun (Sungai Lui), Datuk Mohd Asna Amin: 47 tahun (Lenggeng ), Mohamad Qayyum Abd Jalil): 36 tahun (Senaling), Siti Nur Umaira Hasim: 35 tahun (Labu), Muhammad Sufian Maradzi, 43 tahun (Seri Menanti dan Saiful Yazan Sulaiman 52 (Johol).

Mereka ini antara yang boleh dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Exco untuk menjadi pelapis masa depan BN dan UMNO Negeri Sembilan. Kesemua mereka boleh bergabung dengan bekas Exco serta ADUN berpengalaman lain.

Sudah pasti melalui gabungan itu, Ismail akan mampu membentuk satu pasukan pentadbiran kerajaan negeri yang mantap bukan sahaja bagi menunaikan manifesto BN tetapi juga menjadi Negeri Sembilan terus bertambah maju.

Kesimpulannya, Ismail perlu teliti dalam melantik barisan Exco kerana ia penentu nasib BN dan UMNO  termasuklah dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU) tidak lama lagi. ‘

Rakyat sudah memberi peluang BN kembali memerintah, orang Melayu sudah membuka jalan untuk UMNO, Pas dan Wawasan mencapai kemenangan…jadi jangan kecewakan mereka dengan apa-apa manuver politik sama ada dari dalam parti mahupun luar parti. Hormatilah keputusan pengundi berkaitan parti mana yang mereka pilih menjadi kerajaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img