SEPASANG warga Sri Lanka cedera selepas ditimpa runtuhan batu dan kayu dari sebuah bangunan di Lebuh Armenian, Pulau Pinang, hari ini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Mohamad Ammtar, 66, dan Fatimah, 55, yang merupakan pelancong dan dijadual pulang ke Sri Lanka esok, menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Bomba Pulau Pinang John Sagun Francis.
John berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 1.11 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai dikejarkan ke lokasi.
“Kejadian melibatkan runtuhan batu dan kayu daripada bahagian rasuk bangunan di tingkat satu dan mengakibatkan dua mangsa cedera,” katanya, lapor Bernama.
Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
John berkata, operasi turut dibantu polis dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), dengan operasi tamat pada 2.29 petang.






