SEPASANG suami isteri bersama anak lelaki mereka berusia 9 tahun dilaporkan gagal dikesan di Bukit Kayu Hitam sejak 20 Julai lepas.
Khairul Azhar Ahmad, 39, isterinya, Siti Zulaikha Ahmad Sabri, 36, serta anak mereka, Adid Khairul Azhar, yang juga murid SK Felda Batu 8, Changlun, gagal dihubungi selepas keluar dari rumah mereka di Taman Desa Bayanmas.
Bapa kepada wanita terlibat berusia 62 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Kayu Hitam hari ini selepas gagal mengesan keluarga itu.
Buletin TV3 melaporkan, budak lelaki itu sudah lama tidak hadir ke sekolah dan wanita teribat menghidap asma, menyebabkan ahli keluarga mereka bimbang.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan tiga beranak itu hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan rumah mereka mendapati tiga beranak itu dikesan pulang ke rumah menaiki kereta pada 1.12 pagi semalam, sebelum keluar semula pada 2.20 pagi hari sama dengan menaiki kereta.
Justeru, pihak polis sedang menjalankan siasatan orang hilang dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi IPD Kubang Pasu di talian 04-917 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.






