Tersilap masuk gear, kereta rempuh kedai kuih

SEORANG wanita cedera selepas kereta dipandunya terbabas lalu merempuh sebuah kedai kuih di Leboh Bangau, Taman Berkeley, Klang, dipercayai akibat tersilap memasukkan gear sebelum menekan pedal minyak, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, seorang pekerja kedai wanita berusia awal 30-an turut mengalami kecederaan ringan selepas dirempuh kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian berlaku ketika pemandu wanita itu meletakkan keretanya di parkir hadapan kedai untuk membeli barang.

Beliau berkata, sebaik selesai membeli barang, wanita berkenaan memasuki semula ke dalam keretanya sebelum dipercayai tersilap memasukkan gear hadapan.

“Akibat tersilap masuk gear, pemandu telah tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan terus meluru dan merempuh kedai menjual kuih berkenaan.

“Dalam kejadian itu, sebuah pekerja wanita tempatan berusia awal 30-an yang sedang berada di dalam kedai turut dilanggar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta mengalami kecederaan di kepala sebelum dihantar ke Hospital Sunway Medical Centre untuk menerima rawatan.

Katanya, pembantu kedai yang cedera ringan pula dibawa ke Hospital KPJ Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.

“Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Inspektor Kishen Raj di talian 011-26249291.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img