JABATAN Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah membuka lima kertas siasatan susulan sembilan laporan polis yang diterima berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Pengarahnya, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, laporan berkenaan dibuat oleh pihak TH, anak syarikatnya serta orang awam.
Menurut beliau, kes ini disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang merangkumi Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Tindakan lanjut kini sedang diambil bagi melengkapkan siasatan, termasuk merakam keterangan saksi dari dalam dan luar negara serta mengumpul dokumen berkaitan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited memastikan setiap siasatan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan berlandaskan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini menerbitkan laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Dokumen setebal 211 halaman itu memuatkan ringkasan eksekutif, empat bab utama, senarai ekshibit, penemuan siasatan serta syor penambahbaikan yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Rusdi dalam pada itu memaklumkan, mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam salah laku jenayah akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau pada masa yang sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan proses siasatan.
“Orang ramai diminta untuk hanya merujuk maklumat daripada saluran rasmi,” katanya.






