SEORANG wanita warga emas berdepan detik cemas lebih dua jam apabila diikat, disumbat mulut dan diacu pisau oleh dua lelaki yang memecah masuk kediamannya di Taman Desa, Kuala Lumpur tengah malam semalam.
Ketika kejadian, mangsa yang berusia 77 tahun tinggal bersendirian tidak mengalami kecederaan fizikal, namun kerugian wang tunai kira-kira RM20,000.
Anak saudara mangsa yang mahu dikenali sebagai Lee, 58, memberitahu, dua suspek yang bersenjatakan pisau itu menceroboh bilik tidur mangsa di tingkat atas sebelum mengejutkannya.
Menurutnya, suspek kemudian mengikat tangan wanita itu menggunakan pita pelekat hitam dan menyumbat mulutnya bagi mengelakkan mangsa meminta tolong.
“Seorang daripada suspek turut mengacukan pisau dan mengugut ibu saudara saya supaya tidak melawan atau membuat bising.
“Mangsa yang ketakutan sempat melarikan diri ke dalam bilik air dan mengunci pintu, namun suspek bertindak menendang pintu itu, mengheretnya keluar, lalu mengikat kakinya,” katanya ketika dihubungi media hari ini, lapor Harian Metro.
Lee berkata, penjenayah terbabit kemudian memaksa mangsa yang juga penjaga kuil untuk menunjukkan lokasi barang berharga sebelum menggeledah seluruh rumah.
“Suspek memakai penutup muka penuh dan hanya menampakkan mata, namun ibu saudara saya mengesyaki mereka berketurunan India kerana mendengar suspek bercakap dalam bahasa Tamil ketika membuat panggilan telefon.
“Selepas suspek melarikan diri, mangsa menghubungi saya pada jam 1.45 pagi. Saya bergegas ke sana dan membawanya ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan,” katanya.
Katanya, suspek turut merosakkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah itu.
Lee berkata, anak mangsa bekerja di luar negara, manakala rumah di kiri dan kanan kediaman mangsa tidak berpenghuni dengan satu daripadanya sedang diubah suai menyebabkan kejadian itu tidak disedari jiran.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun berkenaan.
Beliau berkata, siasatan giat dijalankan termasuk meneliti rakaman CCTV bagi mengenal pasti dan memburu suspek yang terlibat.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan Seksyen 397 akta yang sama iaitu samun bersenjata,” katanya.






